TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam
tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi
sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.
Ada
berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi
pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada
baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang
sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai
penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini
supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat,
ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja
kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.
Hakikatnya,
apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut
terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel
Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan
bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan
dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga
24 November 2005 memutuskan:
“Bahawa amalan
merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan
itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan
maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan
meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”
Buku
Elak Sambut Valentine’s Day terbitan JAKIM membincangkan secara lanjut
alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang
mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.
Berdasarkan
fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu
elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah
maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan.
Valentine
dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal
daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga
berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif,
sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand
History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan
Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman
pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa
beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol
pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga
dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.
Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.
Ada
tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari
Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan
menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa
dan dewi Rom.
Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta
Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada
malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan
dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas
itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta
berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270
masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja
Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada
waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan
kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan.
Menyedari hakikat
itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan
pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine
ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati
serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.
Bagi
memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan
dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari
memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.
Pendapat
ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang
paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella
dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di
tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Apabila St Valentine
menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal
Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam,
timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi
Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan,
lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Tindakan
St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu
menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat
sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk
St Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa
Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian.
Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka
masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama
Kristian.
Laman web Spiritrestoration.org : The Premier,
Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and
Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks
Saint Valentine’s Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan
kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut
Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat
begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan
cinta di zaman sekular.
Termaktub dalam laman web Catholic
Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan
dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan
menyebut: ’sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza,
semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang
terawal pada tarikh 14 Februari.’
Berdasarkan fakta itu, jelas
sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama
Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak
membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain
lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.
Islam
sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti
tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah
Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada
pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.
Dalam erti
kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan
ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah
apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku
sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu
pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama
kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Demikian
juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain
dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman,
hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan
identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang
umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam
berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa
yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan
ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar